Saturday, March 4, 2017

Pemenang Giveaway Novel Percuma.

Assalamualaikum semua...

Pertama sekali saya nak minta maaf sangat sebab lambat buat entri untuk mengumumkan pemenang bertuah 3 novel percuma dari @akusipeminatbuku.

Mohon maaf sangat atas kelewatan ini.




Dan pemenangnya adalah........





Jom baca buku - buku yang mereka kongsikan di sini:



Jadilah Wanita Paling Bahagia: 



Kepada semua perserta, terima kasih @akusipeminatbuku ucapkan kerana sudi menyertai giveaway ni. Lain kali, jika ada kesempatan, @akusipeminatbuku buat lagi ya. 



Kepada pemenang, sila hantarkan maklumat anda (Nama, alamat, no telefon) untuk proses penghantaran novel percuma. Hantar ikut "contact form" ya. 

Terima kasih semua!!!!


Thursday, February 16, 2017

Novel Thriller: Pemburu

Tajuk: Pemburu
Penulis : Hilal Asyraf
ISBN 978-967-14642-0-5
Terbitan: Hilal Asyraf Resources
Terbitan Pertama: 2016






Sinopsis

Bakri, seorang pemuda berkelebihan luar biasa, bersama bapanya, Mustafa, ingin menumbangkan Kesatuan Pemburu, sebuah organisasi rahsia, yang telah membunuh manusia kesayangan mereka. Misi itu telah membawa mereka ke Malaysia, yang kini sedang bangkit untuk bersaing dengan kuasa-kuasa besar dunia.

Misi yang kelihatan bertujuan untuk menuntut bela, hakikatnya punya matlamat yang lebih besar. Malaysia menjadi medan pertembungan antara mereka dan Kesatuan Pemburu, juga dengan diri mereka sendiri.


Watak Utama

Bakri - seorang pemuda yang pantas, tajam penglihatan serta mempunyai gerak geri yang sangat tangkas. Setiap hari dia akan berlatih bersama ayahnya Mustafa untuk mempersiapkan diri menghadapi misi - misi penting. Mereka perlu ada rancangan yang bijak dan tepat dalam setiap misi yang ingin dijayakan.

Mustafa - kisah silam dulu telah merubah segalanya. Untuk membalas apa yang telah terjadi dia bertekad untuk memusnahkan Kesatuan Pemburu. Dia telah melatih anaknya Bakri dengan semua teknik yang dipelajarinya. Namum ada rahsia penting yang dia belum mampu ceritakan pada Bakri. 




Komen

Penulis telah wujudkan konflik di awal cerita kemudian perlahan - lahan mengembangkan konflik tersebut. Terdapat banyak persoalan yang akan membangkitkan rasa ingin tahu dan ini menyebabkan kita akan terus membaca untuk mendapatkan jawapan.

Misi - misi yang dijayakan oleh Bakri diceritakan dengan detail dan jelas. Setiap kejayaan misi membawa Bakri lebih dekat dengan Kesatuan Pemburu dan misteri organisasi rahsia ini.

Satu novel yang tidak rugi dibaca, selain pada dengan aksi, novel ini juga memberi pengajaran kepada kita.

Membaca jambatan ilmu. Selamat membaca!!!

Saturday, February 4, 2017

Antalogi Cerpen Fantasi : Daun Paku Ungu

Tajuk: Daun Paku Ungu
Terbitan: JS Adiwarna Publication
Tahun terbit: 2016
ISBN 978-967-0757-14-8
Genre: Sains Fiksyen & Fantasi

Buku ini merupakan sebuah lagi antologi cerpen yang menghimpunkan 25 cerpen daripada penulis - penulis berbakat. Semua cerpen telah dipilih dan disaring oleh pihak penerbitan JS Adiwarna.




Daun Paku Ungu karya Norliza Baharom - mengisahkan Marisah yang terperangkap dalam satu dunia mimpi. Dia hadir sebagai musafir dalam keadaan dunia mimpi ini sedang bergolak. Peperangan telah meletus dan dia perlu menyelamatkan diri. Seorang pemuda bernama Amar hadir menghulurkan bantuan. Amar menjelaskan kepada Marisah apa yang sedang terjadi. Marisah hanya musafir mimpi di Kota Dua Marhalah.

Apa yang terjadi adalah kekuasaan Allah S.W.T. Marisah pasti terbangun dari tidurnya nanti dan lenyap dari dunia mimpi ini.


Andromeraa R17 karya Hanom Taib - mengisahkan tentang kehidupan manusia dia sebuah planet yang dikenali sebagai Andromeraa. Sebuah planet yang sangat maju dari segi teknologi dan kehidupan. Profesor Arion telah menemui satu formula yang mampu menjadikan daya pemikiran dapat ditingkatkan kepada satu tahap yang lebih baik. Eksperimen telah dijalankan ke atas 7 orang remaja terpilih.

Dengan adanya teknologi ini, pemerintah mampu mengawal masalah sosial di kalangan remaja. Bagaimanapun, 7 remaja bijak ini mula merasakan diri mereka dimanipulasi. Mereka mula merancang untuk lari dari planet ini. Mereka telah mewujudkan satu lagi planet lain yang hanya akan dihuni oleh remaja sahaja. 

Akhirnya terdapat satu rahsia besar yang remaja G17 ini tidak ketahui sehinggalah mereka mula merasainya kesannya hidup di atas tanah sintetik.




Datang karya Ariff Al-Baqi - Zaidan datang ke bumi secara tidak sengaja. Niatnya ingin mempelajari tamadun lain yang dapat membantu mengubah kehidupan di planet Bintang12. Planet yang hanya mengamalkan kekejaman. Dia ingin mengubah  keadaan itu supaya menjadi lebih baik. Dalam perjalanannya mencari dan meneroka, dia telah diserang hendap lalu terhempas ke bumi. 

Masri anak yatim yang tinggal sendirian di Kampung Bentan Sini. Dia telah menemui satu objek yang terhempas berhampiran dengan tempat tinggalnya. Dia akhirnya menemui Zidan dalam objek bulat berbentuk seperti kapal angkasa itu.

Setelah Masri menyelamatkan Zaidan, baru dia mengetahui asal usul Zaidan dan tujuannya ke bumi. Masri dengan senang hati telah mengajar dan menunjukan budaya Melayu kepada Zaidan. Dia berharap yang kesopanan dan kesantunan masyarakat melayu bakal mengubah budaya Bintang12.

Zaidan akhirnya memutuskan untuk pulang ke Bintang12 setelah sekian lama dia tinggal dibumi. Namun, apabila sampai di Bintang12, dia terkejut dengan kemusnahan yang telah berlaku. Planetnya telah dimusnahkan dan rampasan kuasa telah berlaku. Impian dan cita - citanya hanya tinggal kenangan. Bintang12 sudah tidak dapat diselamatkan lagi.